fbpx

Saya tak ‘caras’ sesiapa – Izzue Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IZZUE ISLAM

SIAPA sangka daripada bidan terjun menggantikan pelakon Sean Lee sebagai pengacara program I Can See Your Voice Malaysia musim kelima (ICSYVMY5) membuka laluan buat Izzue Islam mengendalikan program berkenaan sehingga ke episod akhir.

Bagi Izzue, tidak timbul isu merampas kerusi Sean selaku pengacara asal yang sudah bersama rancangan hiburan berkenaan sejak empat tahun lalu apatah lagi dia juga sudah mendapat restu hos terbabit.

“Pada awalnya saya cuma jadi bidan terjun apabila hos asal tidak dapat jayakan episod pertama disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan. Kiranya saya cuma pengganti sementara.

“Terkejut juga apabila selepas itu produksi TV3 menawarkan saya menggalas tanggungjawab itu hingga ke akhir musim yang tentu saja membuatkan saya teruja bercampur terharu.

“Tugas ini tiada kena mengena dengan rampas tempat atau caras sesiapa terutama kawan seperjuangan, sebaliknya sudah tertulis rezeki. Rakan gandingan, Ain Edruce, pihak produksi dan Sean juga banyak bagi tip kepada saya.

“Sudah pasti dia turut memberikan ‘lampu hijau’ dan tidak kedekut ilmu memandangkan sudah bersama rancangan ini sejak empat musim. Perkongsian daripada Sean banyak membantu melancarkan rakaman,” katanya ketika sidang media virtual ICSYVMY5 baru-baru ini.

Penampilan sulung bekas anggota Forteen itu sebagai pengacara ICSYVMY5 bersama Ain Edruce tersaksi menerusi edisi raya pada 8 Mei baru-baru ini.

KEMUNCULAN Izzue sebagai hos ICSYVMY5 boleh disifatkan sebagai cemerlang.

Izzue juga mengakui sudah biasa bekerja dengan Ain yang lebih berpengalaman sebagai hos menjadikan keserasian antara mereka berlangsung sempurna.

Begitupun, Izzue tetap mendepani maklum balas ramai selain sudah bersedia menerima sebarang penerimaan penonton termasuk kritikan yang mungkin mencalar emosi.

Katanya, setiap pihak yang menjayakan program berkenaan memberikan komitmen luar biasa terutama jemputan seperti Rosyam Noor, Andi Bernadee, Janna Nick dan ramai lagi.

“Saya cuma berlapang dada. Jika demi penambaikan, saya terima teguran,” luahnya lagi.

Pada masa sama, pemilik nama sebenar Muhammad Izzul Islam Mazlan, 31, itu melihat dunia pengacaraan sebagai cabang seni lain yang ingin dikuasai dengan lebih serius.

“Sejujurnya dua tahun kebelakangan ini pengacaraan turut menjadi fokus baharu saya yang lebih dulu berjinak-jinak mengendalikan pelbagai majlis korporat.

“Saya juga suka belajar dengan melihat gaya personaliti berpengalaman seperti Datuk Aznil Nawawi yang cukup versatil, begitu juga Alif Satar serta ramai lagi nama besar lain.

“Tetapi bukan bermakna nyanyian mahu pun lakonan tidak lagi penting, cuma buat masa ini saya akan kena banyak belajar untuk memantapkan skil pengacaraan,” katanya.

IZZUE berharap dapat melebarkan karier seni sebagai pengacara.

Sementara itu mengenai Syawal, pelakon Jangan Benci Cintaku meraikan sambutan Syawal di Lembah Kelang sebelum kemudiannya beraya di Kelantan pada hari raya kedua atau ketiga.

Kongsi Izzue, perasaan teruja menyambut lebaran tahun ini lebih terasa selepas dua tahun hanya beraya di Kuala Lumpur berikutan penularan Covid-19.

“Memang kami ada balik kampung sebelum ini, tetapi perasaan menunggu detik pulang berhari raya sangat berbeza kerana tahun ini baru kita dapat berkumpul dengan sanak saudara jauh dan dekat.

“Secara peribadi, sambutan Syawal bagi saya menyeronokkan dapat berborak beramai-ramai serta bercerita keadaan masing-masing selepas dua tahun lebih kita tak berpeluang berhimpun pada musim perayaan.

“Lain situasinya berbanding dapat jumpa dan bercerita sesama ahli keluarga, tambah-tambah yang mempunyai keluarga besar macam saya,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI