PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan seorang remaja perempuan yang didakwa membunuh bayinya yang baru lahir pada untuk dibebaskan dengan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Yaacob Sam yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Hashim Hamzah selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh peguam, Ramkarpal Singh bagi pihak remaja berusia 15 tahun itu.
Bagaimanapun, pembebasan dengan jaminan tersebut hanya boleh berkuat kuasa selepas selesai proses penilaian psikiatri yang sedang dijalani remaja berusia 15 tahun itu.
Remaja itu kini ditempatkan di Hospital Permai, Tampoi, Johor sejak Mac lalu bagi tujuan penialain tersebut.
Hakim Yaacob ketika membaca penghakiman ringkas panel terbabit menyatakan terdapat keadaan khas yang membolehkan jamin diberikan kepada remaja berusia 15 tahun itu.
“Keputusan ini adalah sebulat suara. Mahkamah mendapati terdapat keadaan khas untuk jaminan diberikan kepada kanak-kanak. Permohonan untuk kanak-kanak dijamin dibenarkan dengan beberapa syarat,” kata Hakim itu.
Syarat-syarat yang dikenakan ialah remaja dan penjaminnya perlu melaporkan diri sebelum atau pada 7 haribulan setiap bulan sehingga kes selesai dan kedua-duanya wajib hadir ke setiap tarikh kes ditetapkan kecuali kehadiran mereka dikecualikan.
Selain itu kanak-kanak itu juga dilarang untuk dibawa keluar dari Malaysia kecuali dengan kebenaran Mahkamah yang mendengar pertuduhan tersebut. Jaminan berkuat kuasa daripada tarikh kanak-kanak dibebaskan daripada pemerhatian Hospital Permai, Tampoi, Johor.
Pada 15 Februari lalu, remaja terbabit didakwa atas pertuduhan menyebabkan kematian bayinya yang dilahirkan di sebuah rumah di Kemaman di antara pukul 7 hingga 9 pagi, 8 Februari lalu.
Pertuduhan terhadap remaja itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati. – KOSMO! ONLINE