PUTRAJAYA – Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Colombo, Sri Lanka menasihatkan rakyat Malaysia yang merancang untuk melakukan perjalanan ke negara itu agar menangguhkan hasrat tersebut buat sementara waktu susulan situasi amat tegang di sana.
Nasihat perjalanan itu dikeluarkan ekoran perintah berkurung sejak Isnin lalu dan sepatutnya berakhir semalam namun keadaan belum pulih sepenuhnya.
Malah, pasukan keselamatan juga diarahkan menggunakan tindakan kekerasan terhadap individu yang mencetuskan kekecohan termasuk boleh menahan tanpa memerlukan waran tangkap.
“Bagi rakyat Malaysia yang ada perancangan ke Sri Lanka, sila mempertimbangkan untuk tangguh dahulu perjalanan demi mengelakkan kesulitan semasa ketibaan nanti,” katanya menerusi laman web rasmi pejabat misi diplomatik tersebut.
Kekecohan tercetus susulan tindakan ganas perusuh anti kerajaan membakar rumah bekas Perdana Menteri, Mahindra Rajapaksa dan saudaranya sendiri, Presiden Gotabaya Rajapaksa di Hambatota.
Warga Malaysia yang memerlukan bantuan boleh datang ke Suruhanjaya Tinggi yang terletak di No.45, Rosmead Place, 0007 Colombo pada hari bekerja mengikut waktu pejabat normal.
Canseri diplomatik rasmi Malawakil itu juga boleh dihubungi menerusi talian telefon +9411 7557711 atau faksimile +9411 7557714 atau melalui e-mel [email protected]! ONLINE