PETALING JAYA – Pasukan Sabah FC menepati ramalan apabila menjadi kelab pertama yang meloloskan diri ke peringkat suku akhir saingan Piala FA musim ini selepas menewaskan wakil Liga Premier, Kelantan United 2-1 sebentar tadi.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu, skuad Rhinos yang dikendalikan oleh Datuk Ong Kim Swee membariskan kesebelasan terbaik terdiri daripada Baddrol Bakhtiar, Amri Yahyah dan Taiki Kagayama.
Situasi tersebut menyaksikan skuad tuan rumah mudah mendominasi perlawanan dengan melakukan beberapa siri percubaan ke atas kubu pasukan lawan pada awal saingan.
Namun, gol yang dicari akhirnya tiba apabila Kagayama bijak menyudahkan peluang terhidang selepas penjaga gol The Green Deers, Fikri Che Soh gagal menepis rembatan Stuart Wak dengan kemas pada minit ke-40.
Bersambung pada babak kedua, skuad pelawat tampil lebih garang dan berjaya mengejutkan Sabah dengan gol penyamaan hasil jaringan cantik yang dilakukan oleh penyerang import, Njoku Jakob pada minit ke-67.
Pasukan tuan rumah berusaha memburu kemenangan pada penghujung perlawanan tetapi skuad kendalian Shamsul Saad tampil cemerlang khususnya di benteng pertahanan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Pemain import sensasi Indonesia, Saddil Ramdani yang dimasukkan sebagai pemain gantian muncul wira buat pasukan Sabah dengan jaringan daripada luar kotak penalti pada minit ke-110 untuk mengesahkan kemaraan Sabah ke peringkat suku akhir musim ini.
Kelantan United hampir berjaya menyamakan kedudukan pada minit-minit akhir tetapi rembatan yang dilakukan oleh Akif Afizi Ramzi berjaya ditepis penjaga gol Sabah, Damien Lim dengan keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat. – KOSMO! ONLINE.