MILAN – Pengendali Inter Milan, Simone Inzaghi seakan hilang kata-kata ketika membantu kelab itu menjulang trofi Piala Itali buat kali pertama dalam tempoh 11 tahun selepas menewaskan Juventus, awal pagi semalam.
Dalam aksi final semalam, Ivan Perisic muncul wira Inter apabila menghasilkan dua jaringan dalam masa tambahan untuk meraih kemenangan 4-2 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam masa permainan sebenar.
Dalam saingan Serie A, walaupun masih berpeluang untuk memintas AC Milan di puncak liga, Inzaghi seakan enggan terlalu memikirkan tentang baki dua perlawanan sebaliknya mahu meraikan kejayaan yang sudah dicapai ketika ini.
“Saya berbesar hati untuk berkongsi trofi ini dengan staf kejurulatihan yang banyak membantu dalam melakukan persiapan bagi menghadapi tiga perlawanan dalam tempoh seminggu.
“Kami mungkin melepaskan beberapa detik terbaik untuk menjadi pasukan yang lebih bagus, namun saya tidak berasa kesal,” katanya.
Paling mengujakan Inzaghi adalah melihat respons daripada para pemainnya untuk menjadikan pasukan ini lebih baik.
“Ini adalah perlawanan ke-50 kami musim ini dengan kami beraksi sembilan kali dalam tempoh sebulan. Bagaimanapun, pasukan kami berjaya bertindak balas dengan baik termasuk pemain gantian.
“Sekarang adalah masanya untuk menikmati kejayaan ini bersama penyokong, selepas sekian lama menanti,” jelasnya. – AGENSI