SEBERANG PERAI – Seorang lelaki nyaris rentung apabila kereta yang dipandunya terbakar di Kilometer 162.2 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Nibong Tebal di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 malam itu, lelaki berusia 33 tahun tersebut sempat keluar dari kereta jenis Toyota Camry selepas menyedari berlaku kebakaran pada bahagian hadapan kereta.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, pihaknya mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa lelaki itu sedang memandu dari arah Butterworth menuju ke Nibong Tebal.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, tiba-tiba dia nampak bahagian enjin mula terbakar dan terus berhentikan kereta di lorong kecemasan sebelum keluar dari kenderaan.
“Lelaki itu tidak mengalami kecederaan dan api telah berjaya dipadamkan oleh pihak bomba,” katanya kepada pemberita hari ini. – KOSMO! ONLINE