LONDON – Hakim sebuah mahkamah di London dalam sebuah perbicaraan memutuskan tindakan menggelar seorang lelaki sebagai botak sebagai melakukan satu gangguan seksual, lapor akhbar Daily Star semalam.
Keputusan itu dibuat di tribunal pekerjaan di bandar Sheffield selepas perbincangan yang dihadiri oleh tiga lelaki yang mengalami keguguran rambut dengan memberikan pendapat mereka.
Pendengaran kes itu melibatkan seorang juruelektrik dan majikannya di sebuah firma pembuatan, lapor akhbar The Telegraphs.
Juruelektrik, Tony Finn telah bekerja dengan syarikat The British Bung Manufacturing selama hampir 24 tahun sebelum dipecat pada Mei tahun lalu.
Finn mendakwa dia telah dibuang kerja secara tidak adil selepas memukul rakan sekerjanya yang menggelarnya botak. Dia menganggap gelaran tersebut sebagai satu bentuk gangguan seksual.
Hakim, Jonathan Brain terpaksa memutuskan sama ada sindiran itu boleh dianggap sebagai satu gangguan seksual atau sekadar penghinaan.
Dalam perbicaraan kes, Brain memutuskan bahawa terdapat perkaitan antara perkataan botak dan ciri seks yang dilindungi.
Beliau berkata, mana-mana istilah yang diguna dalam bentuk penghinaan boleh dikelaskan sebagai satu bentuk gangguan seksual.
Finn memenangi kes tersebut atas dakwaan pemecatan yang tidak adil dan menerima serangan gangguan seksual. – Agensi