fbpx

Nahas maut lima pelajar: JPJ boleh gantung lesen, permit pemandu lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta jenis Honda City yang terlibat dalam kemalangan dan mengorbankan lima pelajar USAS berhampiran Terowong Menora di Kuala Kangsar, Perak.

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh menggantung dan membatalkan lesen serta permit pemandu lori treler yang terbabit dalam nahas maut lima pelajar berhampiran Terowong Menora, pada 12 Mei lalu.

JPJ menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, tindakan itu boleh diambil sekiranya hasil siasatan membuktikan pemandu lori itu melanggar Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP).

Menurutnya, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) kini sedang melakukan siasatan dan audit mengenai insiden itu sebelum tindakan undang-undang boleh diambil.

“Tindakan penggantungan lesen memandu boleh diambil oleh JPJ berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 sekiranya pemandu dituduh di mahkamah.

“Polis juga akan menentukan sabitan kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta 333 APJ, kepada pemandu terbabit untuk hukuman mahkamah, malah pemandu terbabit juga akan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh yang ditentukan mahkamah,” katanya.

Tambah JPJ, semakan dalam pengkalan sistem mySIKAP JPJ mendapati, pemandu treler terbabit mempunyai lapan rekod kesalahan yang telah selesai dan satu rekod kesalahan masih aktif dengan 12 mata demerit di bawah Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA).

JPJ berkata, jumlah mata demerit yang dikumpul akan memberi kesan kepada penggantungan atau pembatalan lesen memandu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI