SUNGAI PETANI – Tiada kata dapat menggambarkan perasaan seorang ibu mengenangkan nasib anak perempuannya yang menderita penyakit kulit kronik sejak 11 tahun lalu.
Menurut Suraya Mydin, 55, kehidupan anak tunggalnya, Nur Ashikin Mohd. Irwan, 27, tidak seperti rakan sebaya lain apabila seluruh badannya selain bahagian betis menggelembung dan bernanah sejak berusia 16 tahun.
Katanya, lebih teruk apabila hampir keseluruhan kuku kaki anaknya itu kini turut mereput.
“Sekarang dia hanya mampu terbaring di dalam biliknya bagi mengelak terkena habuk, cahaya dan panas matahari yang akan menyebabkan kulitnya mengelupas dan berdarah.
“Bagi menghalang kulitnya melekat pada kain atau cadar, dia terpaksa tidur beralaskan daun pisang,” katanya semalam.
Menurut Suraya yang merupakan ibu tunggal selepas kematian suami, Mohd. Irwan Abdullah sejak tahun 2007, dia telah berhabis banyak duit membawa anaknya mendapatkan rawatan di hospital swasta, kerajaan dan juga perubatan tradisional.
“Penyakit ganjil anak saya ini pernah sembuh sepenuhnya kira-kira dua bulan tahun lalu tetapi gelembung yang mengandungi air bisa dan nanah keluar semula selepas itu dan menjadi semakin teruk sehingga sekarang.
“Selepas berhabis wang simpanan, kini saya buntu memikirkan nasibnya dan hanya bergantung kepada ihsan saudara terdekat membantu meringankan beban,” ujarnya.
Katanya, kesihatan anaknya itu semakin merosot selepas turut disahkan mengidap penyakit kencing manis.
“Saya terpaksa mengupah orang untuk membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) selain perlu menyediakan syampu dan krim khas setiap hari.
“Tanpa sumber pendapatan tetap tentunya merumitkan saya untuk menjaga kebajikan dan menyediakan keperluan harian secukupnya,” katanya sedih.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubunginya di talian 019-7960695 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional, 0230029000536114.