fbpx

Jumlah petugas perubatan ke Tanah Suci kekal sama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBILANGAN kumpulan petugas perubatan Kementerian Kesihatan yang dihantar ke Tanah Suci pada tahun sebelum ini.

PUTRAJAYA – Sejumlah 255 petugas perubatan dari Kementerian Kesihatan bakal dihantar ke Tanah Suci bagi membantu Tabung Haji melancarkan perjalanan ibadah pada musim kali ini.

Jumlah itu meliputi 128 petugas berpengalaman yang pernah menyertai operasi musim haji tahun sebelum ini dan baki 127 petugas baharu menerusi iklan pengambilan akhir tahun lalu.

Bilangan itu sekali gus menyamai jumlah dihantar pihak kementerian pada 2019 iaitu tahun terakhir sebelum kerajaan memutuskan tidak menghantar jemaah haji musim 2020 dan 2021.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar berkata, kumpulan itu terdiri dari pelbagai skim perkhidmatan termasuk farmasi, jururawat dan perawatan kesihatan.

“Seperti tahun terdahulu, petugas kementerian akan bantu mengendalikan kes yang berkaitan perubatan dihadapi jemaah selain mengoperasikan fasiliti sepanjang di sana kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun ujarnya, susulan risiko penularan Covid-19, pihak kementerian membekalkan sebanyak 3,000 ubat antiviral Paxlovid sebagai persediaan merawat jemaah yang dijangkiti.

Bekalan ubat itu bakal diberikan kepada jemaah yang disahkan positif wabak tersebut setelah memenuhi kriteria ditetapkan dan hasil penilaian kesesuaian pesakit sebelum dapat rawatan.

Selain itu jelas beliau, langkah pencegahan dan pengawalan infeksi akan dipertingkatkan bagi mengawal penularan Covid-19 dan penyakit berjangkit lain yang lazim berlaku di Tanah Suci.

Beliau berkata, kerajaan juga telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM5 juta bagi perbelanjaan perkhidmatan kesihatan kesemua 14,306 jemaah haji Malaysia pada tahun ini.

“Kementerian ingin menyarankan semua bakal jemaah terutama berumur 60 tahun ke atas yang ada risiko penyakit teruk agar segera menerima dos penggalak kedua,” katanya.

Langkah itu katanya walaupun secara sukarela, tetapi mampu memberikan perlindungan secara optimum daripada jangkitan Covid-19 yang teruk termasuk kes kematian tidak diduga.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI