fbpx

Jenazah Ahmad Naim Najmi selamat dikebumikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Hafizan Abdul Rahman, 49, (lima dari kanan) menyiram air mawar ke pusara anaknya, Ahmad Naim Najmi di Tanah Perkuburan Islam Kijal, Kemaman hari ini.

KEMAMAN- Jenazah Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan yang merupakan salah seorang pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam nahas ngeri semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kijal di sini sebentar tadi.

Allahyarham Ahmad Naim Najmi, 21, disemadikan berhampiran pusara datuknya, Abdullah Sulong pada pukul 8 pagi.

Suasana pilu dan sedih menyelubungi upacara pengebumian apabila sebahagian daripada 100 ahli keluarga dan kenalan arwah kelihatan sebak sewaktu talkin dibacakan.

Terdahulu, jenazah Ahmad Naim Najmi disolatkan di Masjid Raja Permaisuri Bainun, USAS, Kuala Kangsar, Perak selepas solat Isyak semalam.

Van yang membawa jenazah pelajar semester dua Ijazah Sarjana Muda Kaunseling Islam itu kemudiannya selamat tiba di rumah neneknya di Kampung Penunjuk Kijal di sini pada pukul 3.15 pagi sebelum disolatkan sekali lagi selepas solat Subuh.

Sementara itu, ibu arwah, Shamila Abdullah, 44, bersyukur urusan perjalanan terakhir anak sulung daripada empat beradik tersebut dipermudahkan.

“Saya reda dengan pemergiannya dan bersyukur urusannya dipermudahkan. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan jenazah anak saya,” katanya.

Kosmo! hari ini melaporkan lima pelajar USAS termasuk Ahmad Naim Najmi maut di dalam kereta Honda City dinaiki mereka yang terbakar di Kilometer 246, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Terowong Menora, Ipoh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI