fbpx

ISOBAHTOS martabatkan budaya, warisan Borneo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN ISOBAHTOS

GENRE hip-hop tidak lagi menjadi muzik bermusim apabila kebanyakan penyanyi baharu yang muncul kini tampil mempertaruhkan jalur berkenaan meniti perjuangan dalam industri.

Baik secara solo mahupun berkumpulan, kehadiran mereka memberi petanda baharu bahawa generasi muzik hari ini sentiasa mahu memberikan kelainan menerusi setiap karya, sekali gus meletakkan golongan itu dalam liga tersendiri.

Sama halnya dengan misi sebuah kumpulan hip-hop asal Sabah yang menggelarkan diri mereka sebagai ISOBAHTOS.

Bukan sahaja mahu memperkenalkan bakat dimiliki selaku penyanyi rap dan penulis lagu, bahkan lebih penting apa yang mahu ditonjolkan mereka adalah muzik dan karya yang dihasilkan.

Dianggotai seramai 10 orang anak muda, ISOBAHTOS yang juga dikenali sebagai IsoB turut mendukung visi untuk membawa, memartabatkan serta mewakili unsur seni budaya dan warisan tradisi masyarakat Borneo melalui muzik yang diperjuangkan mereka.

ISOBAHTOS atau mahu dikenali sebagai IsoB dibarisi Mohd. Azizan Danial Abdullah (A.D), Diji Panis (D&G), Jay Adner James (ghidd), Ian Jouse Jaideh (IAN J.) dan Oliver Ordine (Ihberrrr).

Lima lagi anggotanya ialah Ramziwazizi (RamziAli), Quenner Mitchell Pauzi (Quenner M.), Roysten Habirin Lapongan (RODB), Jesper Evans Dumali (RYT) dan Carey Chin Zao Yuan (YERAC).

Sebagai informasi, nama kumpulan itu berasal daripada perkataan ‘aiso’ yang bermaksud ‘tidak’ dalam bahasa Kadazan Dusun dan ‘batas’ membawa erti had.

Maksud kedua-dua perkataan berkenaan mewakili misi mereka untuk mencipta muzik menggunakan unsur bunyi tradisional asli yang diselitkan dengan bunyian moden.

Warna hidup, kisah sendiri

Mendepani hala tuju karier dalam industri, IsoB yang memulakan debut pada 30 Ogos 2021 dengan single pertama berjudul Tiada Batas kini tampil mempertaruhkan buah tangan terbaharu buat peminat.

Diberi judul ARJIIBII (RGB), lagu yang dihasilkan sepenuhnya oleh IsoB dan IsoMeds Studio berkenaan membawa semangat agar siapa pun tidak berhenti melakukan apa yang diimpikan.

PENGHASILAN lagu baharu ISOBAHTOS, ARJIIBII sebenarnya merupakan kisah benar berkaitan keluarga seorang daripada anggota kumpulan ini.

“Berfikirlah dua kali sebelum melakukan sesuatu. Terlalu banyak warna dalam kehidupan. Hanya kita yang boleh memilih warna sendiri.

“Warna menunjukkan persepsi seseorang terhadap dunia. Merah, hijau, biru adalah warna utama cahaya yang melukis kehidupan seharian kita.

“Kita boleh melihat berjuta-juta warna melalui mata, tetapi setiap dari kita hidup dalam dunia sendiri. Dunia ini mungkin sangat berbeza antara satu sama lain.

“Setiap dari kita mewakili warna dan matlamat berbeza tetapi kita harus bergerak walaupun menghadapi pelbagai halangan dan rintangan.

“Dalam setiap usaha untuk menjadi berjaya, akan sentiasa ada seseorang sebagai pemangkin mengejar matlamat itu sekali gus menjadikan kita lebih terdorong berdiri teguh dengan kejayaan,” jelas RODB panjang lebar.

Dilancarkan secara rasmi pada 8 April lalu, demo lagu ARJIIBII sebenarnya terhasil sejak 2019, tetapi ditulis semula serta diberi nafas baharu oleh IsoB.

Malah, kesemua anggota kumpulan itu mengakui, proses rakaman lagu berkenaan mematangkan mereka menjadi lebih profesional dari segi vokal dan teknik rakaman.

“Proses rakaman video muzik lagu ini sangat berbeza dengan single pertama. Sebab memerlukan kami melakukan watak dan penceritaan yang lebih mendalam serta tenang.

“Pun begitu, cabaran tetap ada. Agak susah menghabiskan rakaman mengikut waktu kerana ada beberapa unsur lagu yang kami tidak berpuas hati dari segi kualiti lirik serta giliran.

“Termasuklah cabaran merealisasikan setiap idea yang ada kerana terlalu banyak yang ingin disampaikan. Tetapi selepas berbincang dan buat pilihan terbaik, akhirnya siap juga,” kata RYT dan Quenner M.

Lagu ARJIIBII kini tersedia dalam semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.

Video muzik rasmi sentuhan Video Production Huntwo boleh ditonton menerusi saluran YouTube Isobahtos.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI