PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin-pemimpin ASEAN bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden di White House, Washington hari ini.
Pertemuan di antara Presiden Biden dengan para pemimpin ASEAN itu adalah bersempena Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS selama dua hari bermula semalam yang dilihat sebagai titik permulaan terhadap hubungan diplomatik, dagang dan ekonomi kepada Malaysia.
Ismail Sabri pada masa sama turut menekankan kepaksian ASEAN dalam kerjasama ASEAN-AS di sidang kemuncak itu selain berharap ia menjadi landasan strategik bagi ASEAN dan AS mengkaji serta meneroka bidang kerjasama pragmatik bagi memperkukuh kerjasama sedia ada.
Perdana Menteri turut berkesempatan menyertai Biden dan pemimpin ASEAN lain untuk bergambar berkumpulan di pekarangan Rumah Putih sebelum menghadiri majlis makan malam dihoskan oleh Presiden AS itu.
Sidang kemuncak khas dengan pemimpin negara Asia Tenggara itu merupakan kali yang kedua dianjurkan oleh Presiden AS yang mana kali pertama penganjurannya adalah pada Februari 2016 di Sunnylands, California di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama.
Pemimpin ASEAN lain yang menghadiri pertemuan kali ini ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Indonesia Joko Widodo; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.
Turut menyertai pertemuan itu adalah Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-Cha; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri Laos, Dr. Phankham Viphavanh.- KOSMO! ONLINE