fbpx

Dikir barat, gendang hiasi FGM 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkernai (tujuh dari kanan) bersama pelajar sekolah yang hadir ke FGM 2022 di UMK Kampus Bachok hari ini.

BACHOK – Festival Guru Malaysia (FGM) 2022 yang berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok di sini bermula semalam dimeriahkan dengan pelbagai seni tradisional dari Kelantan seperti dikir barat, gendang dan pameran tekstil batik.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Zulkernai Fauzi berkata, FGM 2022 yang berlangsung sehingga Isnin depan bakal menerima kedatangan sehingga 50,000 pengunjung sekali gus mampu membangunkan ekonomi masyarakat setempat.

Katanya, penganjuran pada tahun ini juga mampu menarik lebih ramai guru, pelajar dan masyarakat dengan pelbagai pengisian menarik disediakan.

“Kelantan amat bertuah kerana dipilih sebagai tuan rumah kepada sambutan Hari Guru tahun ini. Peluang keemasan itu pastinya tidak akan dilepaskan untuk menonjolkan keunikan negeri ini.

“Antara kelainan yang akan dibawa dalam FGM kali ini ialah kita akan mengetengahkan keunikan seni budaya kepada warga pendidik dari luar Kelantan seperti dikir barat, gendang, batik dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita di UMK Kampus Bachok di sini hari ini.

Menurut Zulkernai, selain guru, pelajar dan masyarakat setempat, rakan strategik serta pertubuhan bukan kerajaan akan hadir ke festival itu.

Tambahnya, penganjuran FGM 2022 mampu mengetengahkan warisan seni budaya Kelantan kepada masyarakat luar selain menjadi medan kepada guru-guru di negeri ini mendedahkan segala inovasi yang dihasilkan oleh mereka. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI