fbpx

Bila ringgit nak naik?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ringgi menjunam teruk sepanjang minggu ini hingga memberi kesan kepada harga barang.
IKHWAN IDERIS, WARTAWAN EKSEKUTIF

KEJATUHAN nilai ringgit masih menjadi kerisauan. Pada 10 Mei lalu, kadar tukaran ringgit ialah 4.395 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS$).

Pada masa sama, umum perlu mengetahui sifat mata wang, termasuk ringgit amat meruap (volatile). Ini perkara baharu dan sering kali juga dijadikan modal politik.

Adakalanya turun naik ringgit bukanlah disebabkan asas nilai mata wang itu sendiri mahupun persekitaran dalam negara. Ia sebaliknya juga dipengaruhi pelbagai faktor luaran yang sukar dikawal.

Bagi Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, ringgit kini sebenar­nya terkurang nilai (underva­lued) dan kemungkinan ringgit akan naik semula memang ada.

Beliau memberikan tiga faktor iaitu; kadar faedah AS yang dijangka naik secara agresif, perang Rusia-Ukraine dan lonjakan inflasi yang mengakibatkan peserta pasaran mata wang cenderung memegang mata wang selamat (safe haven currencies), membuatkan ringgit menjadi lemah.

“Dari segi asas nilai ringgit, ia masih baik. Kadar inflasi negara masih stabil sekitar 2.2 peratus pada Mac lalu, berbanding AS yang mencatatkan 8.5 peratus dalam tempoh sama,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Ia bagaimanapun mungkin tidak menjawab kenapa ringgit juga lemah berbanding mata wang negara-negara serantau, Thailand misalnya. Tukaran ringgit berbanding 100 baht masih rendah, pada 12.6781 mata Selasa lalu.

Bagi rakyat marhaen, pastinya kita ingin melihat nilai ringgit naik semula.

Ketika penurunan nilai ringgit memberikan kelebihan kepada perniagaan yang berorientasikan eksport, kita sebagai pengguna yang banyak bergantung kepada barangan import pastinya bakal merasai impak kejatuhan nilai ringgit.

Tambahan pula Malaysia ba­nyak bergantung kepada import bagi barangan makanan dan input pertanian, misalnya makanan ayam. Justeru, ramai risau akan prospek harga barangan keperluan makanan bakal terus melonjak naik.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat, Dr. Abdul Razak Khasbollah berkata, tahun ini pihaknya menjual lembu korban pada harga bermula RM5,000 seekor, berbanding RM4,500 tahun lalu.

Peningkatan tersebut dikaitkan dengan kenaikan kos makanan ternakan.

Dengan lebihan dagangan kukuh pada RM26.7 bilion yang direkodkan pada Mac, disokong harga komoditi tinggi seperti minyak mentah yang memberikan kelebihan buat negara, pasti ramai tertanya-tanya bila agak­nya nilai ringgit kembali memulih.

Ahli Majlis Perundingan Gaji Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr. Zakariah Abdul Rashid dalam tulisannya di akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini berkata, kadar tukaran mata wang sesebuah negara termasuk ringgit ditentukan persepsi dan faktor sebenar ekonomi yang mana kedua-dua­nya tidak semestinya bergerak selari.

“Persepsi yang baik dalam kalangan pelabur mata wang tidak semestinya mencerminkan ekonomi sebenar yang baik, begitulah juga sebaliknya.

“Untuk mempunyai nilai ringgit yang mampan, kita perlu menguruskan fundamental ekonomi terlebih dahulu, sedang mengurus persepsi pelabur mata wang itu dilakukan hanya untuk melunakkan turun naik yang melampau dalam kadar tukaran asing,” jelasnya.

Sementara itu, Mohd. Afzanizam dalam Perbincangan Meja Bulat Majlis Profesor Negara bertajuk Masa Depan Ringgit Malaysia yang diadakan pada Selasa berkata, dalam secara idealnya pasaran yang sepatutnya menentukan kadar tukaran mata wang asing.

“Kita perlu berusaha ke arah meningkatkan daya saing ekonomi serta meningkatkan penggunaan buruh berkemahiran tinggi dan secara perlahan-lahan nilai ringgit akan meningkat secara natural,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI