fbpx

‘Van sekolah’ tanpa permit disita JPJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah van persendirian dicat warna oren disita JPJ Cawangan Jempol selepas dikesan menjalankan perkhidmpatan membawa murid sekolah tanpa permit yang sah.

SEREMBAN – Sebuah van persendirian dicat dengan warna oren seakan van sekolah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Jempol selepas dikesan menjalankan perkhidmpatan membawa murid sekolah tanpa permit.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kenderaan itu dikesan semasa pasukan penguatkuasa JPJ sedang membuat rondaan sekitar Jalan Bahau – Rompin di sini hari ini.

“Setelah pemeriksaan dilakukan, seramai 16 orang murid sekolah yang berumur antara tujuh hingga 12 tahun berada dalam van tersebut.

“Pemandu van yang mengangkut pelajar sekolah sekitar Bahau ini dikenakan tindakan saman mengikut Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 mengikut seksyen yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hanif Yusabra berkata, van tersebut turut disita bagi mengelak mereka melakukan kesalahan berterusan.

“JPJ akan membuat pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan bagi memastikan setiap kenderaan yang digunakan sebagai bas sekolah hendaklah dilesenkan secara sah dan mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa juga dinasihatkan agar memainkan peranan masing-masing dengan mendapatkan perkhidmatan bas sekolah yang mempunyai permit yang sah untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah supaya keselamatan mereka lebih terjamin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI