PETALING JAYA – Penyanyi Aiman Tino mengakui terkejut apabila mendapat tahu bahawa rakan sekampungnya merupakan salah seorang mangsa maut yang rentung dalam kemalangan tragis yang berlaku membabitkan lima sekawan di Perak malam tadi.
Ujar Aiman, 24, ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi, kali terakhir dia bertemu dengan arwah rakannya iaitu pemandu kereta yang hangus dalam kejadian itu, Mohammad Nasrun Aidol sekitar Februari lalu.
Kongsi Aiman, arwah merupakan seorang rakan yang sangat baik dan peramah meskipun mereka berbeza usia dua tahun.
“Saya dapat khabar berita mengenai kematian arwah daripada abang sebab dia nampak perkongsian WhatsApp Story adiknya. Pada mulanya saya fikir tak begitu teruk tetapi tak sangka dia meninggal dunia dalam kemalangan itu.
“Dia orang yang sangat baik dan bagus. Kami tidaklah terlalu rapat tapi memang saling mengenali. Sepanjang berkawan, saya akui rasa segan dengannya kerana arwah merupakan anak ustaz. Malah dia selalu memberi sokongan terhadap apa jua jenis perniagaan yang saya usahakan.
“Kali terakhir kami berjumpa Februari lalu, dia datang mengambil tempahan biskut Nutella Pods yang saya jual,” katanya.
Paling menyedihkan Aiman apabila Mohammad Nasron, 22, yang sering bertanya perkembangan dirinya tidak sempat memberi lirik sebuah lagu untuk dinyanyikannya.
Kongsi Aiman, arwah sebenarnya seorang yang gemar menyanyi memandangkan mereka sama-sama pernah terlibat dalam kumpulan nasyid ketika bersekolah di kampung mereka, Kuala Kubu Bharu, Selangor.
“Dia memang minat menyanyi dan tulis lirik. Kalau tengok dalam Instagramnya, arwah kerap menyanyikan lagu ‘cover’.
“Dia pernah luahkan hasrat nak beri lirik sebuah lagu ketuhanan kepada saya tapi sayangnya hasrat itu tidak kesampaian apabila dia pergi terlebih dahulu,” ujar Aiman.
Malam tadi, lima individu dilaporkan rentung dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora dikenal pasti pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).
Dalam kejadian sekitar 12.52 malam itu, kesemua mangsa terperangkap selepas berlaku kebakaran melibatkan sebuah kereta dan treler.
Mereka adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22 (pemandu kereta), Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, (penumpang hadapan), Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20 yang duduk di bahagian penumpang belakang. – KOSMO! ONLINE