fbpx

Taktik seludup daging babi, isytihar ikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Ikram (dua dari kanan) pada sidang akhbar mengenai kejayaan Maqis Pulau Pinang merampas produk daging babi yang diisytihar sebagai makanan ikan di ibu pejabat Maqis Pulau Pinang di George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang menggagalkan cubaan menyeludup produk daging babi ke negara ini dengan cara pengisytiharan palsu selepas melakukan pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Seberang Perai dekat sini Februari lalu.

Taktik itu terbongkar apabila pegawai Maqis mengesan produk berkenaan diisytiharkan sebagai daging ikan semasa melakukan pemeriksaan rutin.

Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd. Talib berkata, pihaknya menyita sebanyak 20,736 tin produk daging babi itu yang dimuatkan di dalam 864 kotak dengan label produk makanan ikan.

“Pemeriksaan lanjut di makmal ke atas produk seberat kira-kira tujuh tan yang diimport dari China itu kemudiannya disahkan oleh Jabatan Kimia merupakan produk daging babi.

“Sehubungan itu, produk bernilai RM326,592 tersebut telah disita kerana dibawa masuk menggunakan maklumat palsu dan mengelirukan.

“Kita turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM16,000 kepada syarikat pengimport mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728],” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Hari Raya Aidilfitri dan Penghargaan Media di Ibu Pejabat Maqis negeri di Batu Maung di sini.

Tambah beliau, produk daging babi yang disita itu akan dilucutkan hak dan dilupuskan sama ada menerusi kaedah tanam atau menggunakan insinerator.

Tambah beliau, larangan pengimportan serta membawa masuk produk babi di setiap pintu masuk negara adalah bagi menghalang risiko kemasukan virus African Swine Fever (ASF) ke negara ini yang mampu menjejaskan industri penternakan babi dan produk hasilan babi.

Ujarnya, antara produk-produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah babi hidup serta produk berasaskan babi seperti babi salai; sosej babi; babi yang ditinkan dan seumpamanya.

“Kita mengambil langkah lebih serius mengenai pengimportan melalui sempadan negara terutamanya isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI