TAMPIN – Sepasang suami isteri merayu kepada orang ramai untuk membantu mencari anak lelaki bongsu mereka yang hilang sejak 3 Mei lalu.
Wong Chwee Foon, 56, berkata, anaknya, Yap Kelvin, 25, mulai tidak pulang ke rumah selepas diberikan duit sebanyak RM50 bagi membeli makanan kira-kira pukul 7 petang.
Menurutnya, apa yang membuatkan dia dan suaminya, Yap Ban Kim, 56, bimbang ialah, sejak kemalangan pada tahun 2018, anak ketiganya yang mengalami hentakan kuat di kepala serta darah beku di otak mengalami masalah kesihatan.
“Pada mulanya, anak baik-baik sahaja dan boleh bekerja seperti biasa di sebuah restoran di Kuala Lumpur selama lebih setahun selepas kemalangan. Namun, masalah mulai timbul apabila perintah kawalan pergerakan (PKP) pada tahun 2020 yang menyebabkan anak terpaksa pulang dan duduk di rumah tanpa bekerja.
“Sejak dari itu, kami memang sepenuhnya menjaga anak. Anak keluar membeli makanan selepas diberikan duit tanpa membawa kedua-dua talefon bimbitnya dan menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna biru gelap dengan nombor pendaftaran kenderaan MCG 7479,” katanya ketika ditemui di Taman Indah, di sini, tadi. – KOSMO! ONLINE