KUALA PERLIS – Taktik licik sindiket menyeludup barang kawalan dalam jumlah kecil, namun secara berulang kali ke Thailand terbongkar susulan penahanan seorang nelayan tempatan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan ini semalam.
Tekong lelaki berusia 31 tahun itu ditahan APMM Zon Maritim Kuala Perlis ketika dipercayai cuba menyeludup 350 liter petrol ke negara jiran dengan menggunakan bot fiber tanpa nombor pendaftaran di kedudukan 1.1 batu nautika barat pantai Pulau Ketam di sini pada pukul 6.34 petang.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Hashim Mat Zain berkata, hasil maklumat risikan, intipan dan pemantauan berterusan, pihaknya berjaya membongkar kegiatan penyeludupan minyak petrol oleh bot nelayan tempatan.
Katanya, pasukan operasi mengesan suspek yang sedang mengemudi bot dalam keadaan mencurigakan keluar dari muara Kuala Perlis menuju ke arah sempadan Thailand pada pukul 6.15 petang.
“Sebaik suspek menyedari diekori bot penguat kuasa, dia memecut laju untuk melarikan diri dengan menuju ke sempadan perairan Thailand tetapi gagal apabila bot ronda APMM berjaya memintas dan menahan suspek,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, pemeriksaan lanjut ke atas bot menemui 14 tong berisi kira-kira 350 liter petrol dianggarkan bernilai RM2,100 yang disembunyikan di dalam peti simpanan ikan.
“Kita juga menemui satu tong gas memasak dengan anggaran nilai RM180 yang turut disembunyikan di tempat simpanan ais. Barangan tersebut disyaki cuba diseleweng serta diseludup keluar ke negara jiran,” ujarnya.
Menurutnya, sindiket dipercayai menyeludup keluar barang-barang kawalan seperti petrol, minyak masak, tepung dan tong gas memasak dalam kuantiti yang sedikit, namun dilakukan berulang kali dalam masa sehari.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3 (1) Peraturan Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki barang kawalan berjadual minyak petrol tanpa kebenaran bertulis daripada pengawal bekalan.
“Suspek, bot serta hasil rampasan dianggarkan bernilai RM17,280 dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE