KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Goh Gaik Kim memberitahu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia bukan ibu saudara dan tiada kaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan nama Jho Low.
Saksi pendakwaan ke-17 itu membuat penafian tersebut ketika menjawab soalan peguam bela Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik syarikat pelaburan strategik negara itu.
“Saya bukan ibu saudara Jho Low, malah saya tiada sebarang pertalian dengan dia,” kata wanita itu.
Dalam prosiding hari ini, saksi itu berkata beliau pernah melihat Jho Low daripada jauh ketika makan tengah hari bersama salah seorang pengarah 1MDB dan Ketua Pegawai Operasi 1MDB ketika itu, Radhi Mohamad.
Mengulas lanjut mengenai pertemuan berkenaan, Gaik Kim berkata pada ketika itu beliau tidak mengetahui siapakah Jho Low.
“Saya tanya siapakah Jho Low kerana pada pemikiran saya sudah tentu dia ada kaitan dengan syarikat kerana mereka berdua pergi menyambut lelaki itu, bagaimanapun mereka hanya diam,” katanya.
Gaik Kim bagaimanapun berkata beliau tidak dapat mengecam Jho Low melalui foto yang dirujuk peguam kerana beliau hanya melihat Jho Low sekali sahaja daripada jauh.
Ditanya sama ada beliau pernah diberitahu oleh pengurusan kanan 1MDB bahawa Jho Low memainkan peranan dalam syarikat 1MDB, saksi itu berkata beliau hanya tahu melalui media.
Pada Jun 2019, Menteri Kewangan ketika itu Lim Guan Eng dilaporkan berkata bahawa Gaik Kim yang kini Setiausaha Syarikat TRX City Sdn Bhd, menafikan bahawa Jho Low adalah anak saudaranya.
Pada masa sama, satu laporan daripada portal perniagaan mendakwa Gaik Kim yang memegang jawatan setiausaha syarikat sejak penghujung Mac 2011 adalah ibu saudara kepada Jho Low. – KOSMO! ONLINE