KOTA BHARU – Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Machang mampu mengatasi masalah gangguan bekalan air selain mengatasi banjir yang berlaku di Kelantan.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, proses kajian di peringkat tapak sedang dijalankan dan ia alan dimulakan dengan segera apabila prosedur itu selesai.
Menurutnya, loji yang mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk disiapkan itu akan dibina di tanah rizab seluas 400 hektar dan ia terletak berhampiran Sungai Kelantan dengan tangki yang mampu membekalkan 500 juta liter sehari.
“Projek ini masih di peringkat kajian tapak. Ia mempunyai dua fungsi iaitu dapat mengurangkan masalah banjir dan isu air.
“Air sungai yang diambil akan ditakung terlebih dahulu sebelum dibekalkan kepada semua loji yang besar agar kos rawatan di loji lebih murah,” katanya pada sidang akhbar semasa hadir ke Majlis Rumah Terbuka Pas Kelantan di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, selain projek TAPS, dua lagi inisiatif dijalankan untuk menangani masalah air di Kelantan iaitu pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) dan paip bersambung dengan ketiga-tiga projek itu menelan belanja sebanyak RM1.3 bilion.
Katanya, setakat ini, beberapa loji sedang dibina di Semerak, Pasir Puteh, Kampung Telok dan Ketereh (Kota Bharu), Teluk Mesira (Bachok), selain di Gua Musang.
“Empat atau lima loji yang sudah siap dan memulakan operasi ketika ini namun, kapasiti pengeluaran air masih belum sepenuhnya.
“Bagi perancangan jangka panjang, kita bercadang memanfaatkan air dari Tasik Tok Uban, Pasir Mas untuk membekalkan air kepada pengguna sekitar kawasan itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE