fbpx

Petugas media cemas tempahan ‘hotel ghaib’ di Hanoi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MASALAH penginapan berlaku pada Sukan SEA Vietnam selepas penganjur menggunakan hotel sebagai tujuan pencegahan Covid-19.

PERJALANAN atlet dan petugas media pada Sukan SEA Hanoi, Vietnam terganggu terutama melibatkan kemudahan tempat tinggal, sekali gus menyebabkan jadual latihan dan tugasan sedikit kelam kabut.

Ketua Kontinjen negara (CDM), Datuk Nur Azmi Ahmad mengesahkan perkara tersebut dan menjelaskan, terdapat beberapa pasukan yang tiba di Hanoi terpaksa menunggu berjam-jam sebelum dapat memasuki bilik penginapan masing-masing.

Katanya, Vietnam selaku tuan rumah menggunakan hotel untuk menempatkan atlet dan bukannya perkampungan sukan seperti mana edisi lalu bagi pencegahan Covid-19 yang lebih baik.

NUR AZMI

“Setakat ini kami mempunyai beberapa masalah kecil dari perspektif logistik, bukan dari pihak kami tetapi daripada penganjur berhubung dengan penginapan hotel. Kami bagaimanapun, sudah dapat menyelesaikan isu itu. Saya memohon maaf kepada semua pasukan yang terpaksa menunggu selama tiga hingga empat jam atau lebih untuk memasuki bilik mereka.

“Saya sudah bertemu dengan semua pasukan, termasuk skuad bola sepak dan saya percaya semua atlet kekal dalam semangat yang baik dan tidak sabar untuk bertanding di sini,” katanya.

Selain atlet, petugas media turut menjadi mangsa apabila tempahan awal yang dibuat menerusi dalam talian tidak wujud dan terpaksa mencari alternatif lain. Malah, rombongan media Malaysia yang tiba semalam terpaksa mencari penginapan hingga lewat malam.

Begitupun, dengan tindakan pantas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang datang membantu, beberapa unit kediaman sementara berjaya disediakan sebelum kumpulan media terbabit mencari penginapan lain.

Antara media sukan terkesan ialah Berita Harian, Harian Metro, Bernama, Kosmo! dan Utusan Malaysia.

“Kami terpaksa mencari pelbagai alternatif lain selepas tempahan yang dibuat dibatalkan sebanyak dua kali tanpa alasan munasabah sebaik sahaja tiba di Hanoi.

“Bukan saja dari Utusan Malaysia dan Kosmo! mengalami masalah ini, wartawan dari agensi lain turut berdepan situasi sama sekali gus terpaksa mencari penginapan baharu sehingga lewat malam.

“Kami harus berterima kasih kepada MOM mengambil tindakan pantas membantu kami mencari penginapan sementara, kalau tidak kami bermalam di lapangan terbang,” kata wartawan sukan Utusan Malaysia, Rozaidi Zulkifli.

Temasya Sukan SEA edisi ke-31 bakal dibuka secara rasmi malam ini dan berlangsung sehingga 23 Mei ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI