BALING – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah mengambil masa lebih tiga jam untuk memindahkan seekor gajah liar berusia 20 tahun di Kampung Tanjung Nering, Kupang dekat sini hari ini.
Pengarahnya, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, pihaknya menggunakan khidmat dua ekor gajah denak betina untuk memindahkan gajah jantan tersebut yang diberi nama ‘Awang Tanjung Nering’.
Katanya, dua gajah denak betina itu didatangkan dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang.
“Gajah liar tersebut dilaporkan berkeliaran di kebun penduduk sejak dua minggu lalu dan menyebabkan kerosakan hasil tanaman seperti pisang dan kelapa.
“Penduduk kampung juga takut untuk keluar mengusahakan tanaman kerana bimbang dengan keselamatan diri masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, Unit Tangkapan Gajah telah menjalankan operasi mengesan dan menangkap gajah liar seberat tiga tan itu pada Isnin lalu.
“Haiwan itu dalam keadaan sihat dan dipercayai tersesat daripada kawanan gajah lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE