PUTRAJAYA – Malaysia menzahirkan kekesalan atas tindakan Kemboja tidak membenarkan penglibatan wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam proses rundingan di Myanmar.
Perkara itu antara disentuh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah ketika Mesyuarat Tidak Formal Menteri Luar ASEAN di Washington DC, Amerika Syarikat (AS) lewat malam tadi.
Menerusi hantaran dalam laman sosialnya hari ini, beliau membangkitkan beberapa isu besar yang kesemuanya melibatkan krisis politik di Myanmar dan dilihat semakin bertambah sulit.
“Antaranya, kami amat kesal kerana Utusan Khas Pengerusi ASEAN, Prak Sokhonn melarang Utusan Khas PBB, Noeleen Heyzer menyertai proses tersebut,” katanya dalam nada kecewa.
Beliau tanpa berselindung menyelar Kemboja yang juga Pengerusi ASEAN untuk sesi tahun ini sebab bertindak secara berseorangan dalam mencari penyelesaian terhadap isu Myanmar.
Bagaimanapun beliau secara diplomasi, menyatakan sokongan Malaysia sepenuhnya kepada Timbalan Perdana Menteri Kemboja itu menunaikan mandat konsensus lima perkara ASEAN.
Meskipun tidak dinyatakan secara terperinci, Saifuddin dipercayai merujuk tindakan kontroversi Sokhonn bertemu ketua junta tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing pada Mac lepas.
Lawatan yang dikecam pelbagai pihak itu hanya menyaksikan kehadiran Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Paduka Lim Jock Hoi di samping Menteri Luar Myanmar, Wunna Maung Lwin. – KOSMO! ONLINE