fbpx

Malaysia dipilih tuan rumah Sukan SEA 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHLI majlis SEAGF sebulat suara meluluskan permohonan Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA bagi edisi ke-34 pada tahun 2027.

HANOI – Malaysia sekali lagi melakar sejarah selepas mendapat kepercayaan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) sebagai tuan rumah Sukan SEA bagi edisi ke-34 pada tahun 2027.

Menurut Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, beliau mengucapkan terima kasih kepada ahli majlis SEAGF kerana sebulat suara meluluskan permohonan Malaysia untuk menjadi tuan rumah temasya sukan dwitahunan tersebut pada 2027.

“Ini berita gembira buat warga sukan di Malaysia. Jadi, ia memberi peluang kepada negara kita untuk bersiap sedia dari segi kemudahan dan sudah tentu menggembirakan atlet kerana dapat bertanding di negara sendiri,” katanya.

Ujar Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), keputusan itu dibuat selepas penarikan diri Brunei untuk penganjuran 2027.

“Walaupun negara lain berminat tetapi mereka (SEAGF) memerlukan tuan rumah yang mempunyai kepakaran dan kemudahan selain cemerlang dalam penganjuran temasya itu sebelum ini.

“Selepas pandemik Covid-19 negara-negara seperti Thailand (2025), Malaysia (2027) dan Singapura (2029) perlu mengaktifkan semula industri sukan, jadi dengan menjadi tuan rumah inilah peluangnya. 

“Selepas ini saya akan pulang ke tanah air untuk menyampaikan mandat ini kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Seterusnya bekerjasama mencari jalan dalam menjalankan persediaan selepas kita mempunyai tempoh lima tahun,” katanya. 

Ini kali ketujuh Malaysia diberi tanggungjawab untuk menjadi tuan rumah sejak kali pertama pada 1965 ketika temasya ini dikenali sebagai Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP).

Keputusan itu dibuat selepas ahli majlis (SEAGF) bersetuju dalam mesyuarat ahli majlis yang berlangsung di Hanoi pagi tadi dengan pemilihan berdasarkan turutan abjad.

Mesyuarat berkenaan turut memilih Singapura untuk menjadi tuan rumah bagi edisi ke-35 (2029) yang juga buat kali kelima bagi negara jiran tetangga itu. 

Keputusan untuk memilih tuan rumah bagi Sukan 2031 telah ditangguhkan untuk membolehkan Laos mendapat kelulusan kerajaan mereka.

Sementara itu, Norza turut mengesahkan acara tukul besi membabitkan jaguh negara, Jacky Wong akan dipertandingkan mengikut jadual selepas empat atlet akan mengambil bahagian di Sukan Sea Hanoi.

“Sebelum ini hanya dua orang saja termasuk Thailand dan tidak cukup atlet tapi sekarang sudah ada empat dengan penambahan seorang atlet negara, manakala seorang lagi dari Kemboja. Begitu juga dengan lontar peluru wanita, diteruskan seperti biasa membabitkan dua atlet Thailand, seorang Indonesia, seorang lagi Kemboja dan seorang wakil negara,” katanya. – KOSMO ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI