KUANTAN – Seorang anggota polis berpangkat korporal didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,000 pada Mei tahun lalu.
Tertuduh Abdul Wahab Musa,57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dihadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain
Berdasarkan kertas pertuduhan pertama Abdul Wahab sebagai anggota polis yang bertugas di Balai Polis Kuala Bera secara rasuah telah menerima suapan bernilai RM1,000 daripada Noor Azman Mohd Noor sebagai dorongan untuk tidak menangkap anaknya, Aliff Haikal kerana memiliki kenderaan klon jenis Mitsubishi Lancer yang merupakan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan Balai Polis Kuala Bera pada 19 Mei 2021.
Bagi dua lagi pertuduhan tertuduh juga secara rasuah didakwa menerima suapan wang tunai bernilai RM500 setiap pertuduhan atas perkara dan daripada individu yang sama di sebuah rumah rakit di Kuala Bera, pada 2 Jun 2021 dan 5 September 2021.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam prosiding Siti Sarah memohon tertuduh dikenakan tawaran jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, tertuduh membuat rayuan agar wang jaminan dikurangkan kerana dia masih menanggung tujuh anak dan seorang isteri dengan tiga daripada anaknya masih bersekolah.
Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sehingga perbicaraan kes itu selesai.
Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 14 Jun depan. – KOSMO! ONLINE