KOTA BHARU – Jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Kelantan meningkat sebanyak 553 peratus pada tahun ini berbanding dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, peningkatan itu dapat dilihat apabila sebanyak 1,548 kes HFMD dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-18 iaitu pada 1 Mei hingga 7 Mei lalu.
Menurutnya, hanya 237 kes sahaja dilaporkan bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.
“Majoriti kes HFMD yang dilaporkan pada tahun ini melibatkan kanak-kanak berusia satu hingga empat tahun dengan jumlah yang direkodkan iaitu sebanyak 75.8 peratus.
“Secara keseluruhan, 87.9 peratus dariada kes yang dilaporkan adalah berusia enam tahun dan kebawah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Zaini memberitahu, sebahagian wabak yang dilaporkan itu melibatkan taska dan pusat jagaan kanak-kanak.
Katanya, sehubungan itu, JKNK menasihatkan pemilik premis perniagaan supaya sentiasa melakukan sanitasi terutamanya permukaan atau barangan yang kerap disentuh seperti troli, tombol pintu dan alat permainan.
“Orang ramai terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti berikut bagi membendung penularan wabak tersebut.
“Jika terdapat sebarang kemusykilan dan pertanyaan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau klinik kesihatan berhampiran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE