fbpx

Kes HFMD di Melaka meningkat sembilan kali ganda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Rusdi Abd. Rahman

MELAKA – Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Melaka meningkat sembilan kali ganda iaitu sebanyak 977 kes direkodkan, sehingga minggu ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, sebelum ini sebanyak 95 kes direkodkan dalam tempoh sama, tahun lalu.

Ujarnya, bagaimanapun kes HFMD di negeri ini masih terkawal meskipun mengalami peningkatan sebanyak 928 peratus.

“Jumlah kes direkodkan pada tahun lalu rendah kerana kebanyakan tadika, taska, pusat jagaan dan sekolah tutup akibat pandemik Covid-19.

“Tahun ini semua pusat tersebut telah beroperasi seperti biasa dan kerana itu jumlah kes direkodkan naik mendadak daripada 95 kes kepada 977 kes dalam tempoh lima bulan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebanyak 11 premis juga telah diarahkan ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 selepas mencetuskan kluster HFMD.

“Setakat ini terdapat 13 kluster dilaporkan sehingga minggu Epid (ME) ke-18 membabitkan lima kes di tadika, manakala taska empat kes dan masing-masing dua kes di pusat jagaan dan rumah persendirian.

“Kita telah mengeluarkan arahan penutupan 11 premis termasuk tujuh di daerah Jasin, tiga premis di Melaka Tengah dan sebuah di Daerah Alor Gajah,” katanya.

Rusdi berkata, pihaknya telah melakukan sesi perbincangan bersama pihak-pihak terlibat khususnya pengusaha tadika, taska, pasar raya dan pusat beli-belah untuk mengawal penularan penyakit HFMD. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI