MUSIM perayaan sinonim dengan pelbagai jenis hidangan juadah dan menu makanan ‘berat’ seperti lemang, rendang, ketupat dan biskut.
Memang seronok menikmati makanan yang sedap tidak kira sama ada dimasak sendiri di rumah atau ketika berkunjung ke rumah sanak saudara dan rakan taulan.
Harus diakui, agak sukar untuk menolak nafsu menjamah semua jenis menu yang dihidangkan kerana memang menjadi adat ketika datang beraya apabila tetamu dihidangkan dengan pelbagai menu yang kebanyakannya menambat selera kita.
Tetapi harus diingat, setiap menu yang dihidangkan berkolestrol dan mempunyai kalori tinggi.
Berkongsi tip sebelum mengunjungi rumah terbuka, pakar dietitian Hospital Pakar KPJ Damansara, Farah Farhanah Hashim berkata, amalkan meminum air masak yang mencukupi di rumah sebelum keluar beraya.
“Tuan rumah perlu membudayakan penyediaan air kosong untuk tetamu. Pilih menu signatur yang anda rasakan tidak akan didapati di rumah lain. Pilih pinggan bersaiz kecil untuk meminimumkan pengambilan juadah.
“Untuk biskut raya pula, pilih sebiji atau dua sudah memadai. Untuk ketupat, nasi impit dan lemang, pilihlah yang mengandungi kalori rendah. Bagi ruang untuk makanan yang dimakan dihadam dengan sempurna. Caranya dengan tidak terus baring selepas makan,” katanya.
Menurut Farah, sepatutnya bulan Ramadan lalu menjadi titik tolak atau langkah mula terbaik untuk mengawal pemakanan memandangkan ketika itu kita semua sudah membiasakan diri mengawal makan.
Katanya, jangan pernah mengamalkan sikap suka bertangguh niat untuk berdiet kerana bulan Ramadan lalu secara tidak langsung menjadi langkah pertama untuk melakukannya.
“Amalan berpuasa pada Ramadan lalu membentuk corak pemakanan yang lebih sihat dan seimbang.
“Manfaat bulan puasa banyak membantu dalam merehatkan sistem penghadaman, mengurangkan ketagihan makanan manis (sugar craving) dan menormalisasikan kadar insulin serta membantu mengawal kelaparan,” katanya.
Pada masa sama, pesan Farah, berpada-padalah dalam mengikut trend diet untuk kurus sekali gus jangan mengabaikan kesihatan semata-mata untuk mengejar target terutamanya buat mereka yang terfikir mengambil langkah drastik mahu langsing
“Jalan singkat, kesannya singkat dan sementara. Dalam penurunan berat badan, kelestarian kelangsungan pengambilan makanan yang sihat dan seimbang lebih menjanjikan kesan baik utuk jangka masa panjang.
“Berpada-padalah ikut trend. Jangan abaikan kesihatan demi mengejar untuk kurus. Buat perancangan yang teliti selepas mendapatkan nasihat pakar atau dietitian,” katanya. -KOSMO! ONLINE