HULU TERENGGANU – Seorang wanita, Rohani Abdullah yang terkorban bersama suaminya dalam kemalangan di Kilometer 76, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli, Perak pada Isnin lalu masih sempat memikirkan kebajikan ibunya beberapa minit sebelum insiden.
Anak saudaranya, Wan Rubiah Wan Sulaiman, 40, berkata, arwah ibu saudaranya berusia 47 tahun itu telah menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepadanya kira-kira 20 minit sebelum terlibat dalam nahas berkenaan.
“Arwah menyatakan terkilan kerana tidak sempat menghantar ibunya, Semek Abdul Rahman, 80, untuk pemeriksaan berkala tekanan darah tinggi di Hospital Hulu Terengganu kelmarin (Isnin).
“Dia berterima kasih kepada saya kerana sudi membantunya menghantar Semek. Arwah juga meminta saya menjaga nenek baik-baik,” katanya di Kampung Buluh di sini semalam.
Kosmo! kelmarin melaporkan, Rohani dan suaminya, Azmi Imas, 46, maut selepas kereta Nissan Latio dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton di lokasi kejadian pada pukul 6.45 petang.
Dua anak mereka iaitu Muhammad Adam Darwish, 14, dan Nur Aina Batrisya, 18, pula mengalami kecederaan.
Sewaktu kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Felda Tersat di sini selepas menghantar anak sulung, Muhammad Arif Haiqal, 20, kembali ke kampus di sebuah institusi pengajian tinggi di Kedah.
Sementara itu, Semek berkata, kali terakhir dia bertemu Rohani sewaktu anak perempuan dan keluarganya itu mahu bertolak ke Kedah, Jumaat lalu.
“Sepanjang hari pada Isnin lalu, saya tidak sedap hati dan berdebar serta lengan kanan tiba-tiba berdenyut. Rupa-rupanya itu petanda anak saya dan keluarganya ditimpa kecelakaan,” katanya.
Jenazah Rohani dan Azmi selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Tersat selepas solat Asar kelmarin.
Muhammad Adam Darwish dan Nur Aina Batrisya yang cedera telah dibenarkan keluar dari wad Hospital Jeli. -KOSMO! ONLINE