FASA peralihan ke endemik sejak lebih sebulan lalu mengubah dan memberi sejuta warna buat semua dalam acuan serta kelangsungan survival kehidupan berbeza.
Selepas Ramadan dan Syawal tanpa sekatan, dalam konteks penggiat dunia seni dan hiburan, peralihan yang ibaratnya lebih penting daripada pertukaran Perdana Menteri itu memberi banyak ruang buat anak seni untuk berkarya, sekali gus kembali meneruskan kerja mereka sebagai penghibur.
Paling ketara adalah timbunan acara hiburan dan pelancaran produk baharu. Sidang akhbar drama baharu pun kadang-kadang terpaksa dibuat di lokasi penggambaran. Terima kasih kepada Google Meet sebab memudahkan urusan walaupun kadangkala menyusahkan sesi wawancara bersama artis.
Paling ketara, acara yang selama ini paling sensitif dengan kalimah prosedur operasi standard (SOP) iaitu penganjuran konsert juga sudah berbanjar mengisi jadual, bahkan orang media yang menjaga hal ehwal dunia hiburan seperti sudah ditempah, ada acara besar bakal harus dimasukkan dalam jadual liputan,
Semacam Hujan Bulan Juni (antologi puisi penyair Indonesia, Sapardi Djoko Damono), peminat yang selama ini dahaga mahu tengok konsert diberi pilihan sama ada mahu menikmati persembahan penyanyi tengah meledak dengan gaya eksentrik memukau, Aina Abdul dalam Konsert A Night With Aina 2.0 di Istana Budaya pada 25 dan 26 Jun ini atau sesuatu yang santai dan mendayu-dayu, kembali terheret ke alam cinta 1990-an, UK’s pula boleh ke Konsert 25 Tahun U.K’s Reunion pada 17 dan 18 Jun juga di Istana Budaya.
Sementara menunggu Aina dan UK’s, Kuala Lumpur sebenarnya sudah tidak sabar untuk melihat semula kemunculan barisan asal Search yang menjadi artis pendahulu merasmikan pentas konsert berprestij terbaharu di lokasi bertaraf antarabangsa, Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang pada 4 dan 5 Jun nanti.
Konsert yang bakal menelan kos lebih RM1 juta itu dianggap kemuncak kerjaya Search yang bermula 40 tahun lalu. Apa yang menariknya dalam kalendar konsert Jun ini, Search yang kini terbahagi dua akan menawarkan dua konsert berbeza dalam seminggu.
Selepas Search asal (Amy, Nasir, Hillary Ang dan Man Kidal), Search yang dianggotai Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass), Denden (penyanyi) dan Minn (dram) akan beraksi dalam konsert Search Rockin’ On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell pada 11 Jun ini.
Sesuatu yang tidak pernah terjadi, namun itulah lucu dan uniknya pemuzik Malaysia. Peminat diberikan banyak pilihan, mahu pilih kesetiaan atau meraikan variasi, silakan.
Jun juga menghadirkan Hattan yang selama lebih 30 tahun dalam industri, namun baru pertama kali muncul dengan konsert mega di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur pada 4 dan 5 Jun, bertembung dengan Search di Zepp. Bagi peminat tegar, masih ada waktu untuk buat pilihan.
Begitulah acara hiburan, impak, audiens dan peminatnya mungkin tidak menyeluruh, namun bermakna demi kelestarian dan survival anak seni. -KOSMO! ONLINE