SEREMBAN – Seorang guru al-Quran yang juga graduan Diploma Pengajian Islam Kolej Uniti Port Dickson tidak sempat hadir pada Istiadat Konvokesyen minggu depan selepas maut dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki di Jalan Batang Benar, Nilai berdekatan susur Stesen Minyak Petronas di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, dalam kejadian pada pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Muz Mohd, Nasir berusia 22 tahun yang menunggang motosikal jenis SM Sport maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
“Kemalangan berlaku semasa pemandu lori tangki dalam perjalanan dari Kajang menghala ke Nilai.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, secara tiba- tiba pemandu lori tangki terdengar bunyi kuat dari arah belakang sebelah kanan. Penunggang motosikal dipercayai sedang memotong lori tangki itu dari sebelah kanan dan telah terjatuh di bawah kenderaan itu sebelum diseret,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Fazley berkata, akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa iaitu penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori tangki tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban bagi tujuan bedah siasat.
“Siasatan awal mendapati lokasi kemalangan adalah susur masuk ke Stesen Minyak Petronas, mempunyai dua lorong sehala dan mempunyai tembok batu di sebelah kanan jalan dengan cuaca baik dan jalan kering,” kataya.
Dalam pada itu, menerusi Facebook Kolej Uniti Port Dickson, mangsa yang merupakan graduan Diploma Pengajian Islam sepatutnya hadir pada Istiadat Konvekesyen Kolej Uniti Ke-19 pada 21 Mei depan di Pusat Konvensyen Bangi. – KOSMO! ONLINE