fbpx

Gandingan mantap pesilat negara raih hatrik emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GANDINGAN mantap Taqiyuddin dan Sazzlan menjelmakan pingat emas pertama skuad silat negara dalam acara ganda putra (tempur) Sukan SEA Vietnam 2021 di Hanoi semalam.

KEPELBAGAIAN teknik dan buah pukulan baharu menjadi kunci azimat kepada kejayaan Mohd. Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga untuk membutirkan pingat emas pertama skuad silat negara dalam acara ganda putra (tempur) semalam.

Berlangsung di Pusat Sukan Bac Tu Liem, pesilat negara turun dengan semangat luar biasa dan bertenaga terutama memperagakan aksi agresif menggunakan senjata parang kembar untuk membolehkan Malaysia meraih emas.

Jelas pengorbanan Taqiyuddin mempelajari teknik buah baharu tersebut dalam tempoh empat bulan berjaya memikat hati 10 juri dengan markah 9.950 mata.

Kejayaan tersebut memboleh­kan pasangan negara mempertahankan pingat emas sewaktu di Sukan SEA Kuala Lumpur (2017) dan Filipina (2019).

“Saya berasa bangga dan teruja kerana berjaya melengkapkan kemenangan hatrik di temasya Sukan SEA sekali gus dapat menggembirakan pasukan silat negara.

“Terima kasih kepada jurulatih dan guru saya iaitu Datuk Osman Nok yang berkorban terutama memberi tunjuk ajar serta memberi sokongan padu hari ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Pada saingan tersebut, pi­ngat perak menjadi milik gandingan dari Singapura, Muhammad Hazim Mohammad Zaque-Muhammad Haziq Mohammad Zaque dengan markah 9.905 mata.

Pingat gangsa menjadi milik pasukan Vietnam dan Thailand, manakala Indonesia gagal selepas tewas di suku akhir di ta­ngan pasukan tuan rumah.
Sementara itu, skuad silat negara turut meraih tiga pingat gangsa menerusi acara regu puteri, Siti Nur Khairunnisa Hail, Fatin Ardani Zamri dan Merrywati Manuil.

Turut menerima pingat gangsa, Nur Syazreen A. Malik-Nor Hamizah Abu Hassan dalam acara ganda puteri dan Luqman Laji bagi tunggal putra.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI