BACHOK – Festival Guru Malaysia (FGM) kembali merancakkan sambutan hari guru dengan menyediakan pelbagai aktiviti menarik selepas dua tahun tidak dianjurkan akibat pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, Kelantan menjadi tuan rumah pada tahun ini apabila sambutan diadakan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kampus Bachok di sini bermula hari ini hingga 16 Mei depan.
Katanya, YGMB yang diamanahkan selaku penganjur FGM menampilkan pelbagai kelainan pada edisi kali ini untuk meraikan warga pendidik yang selama ini telah bertungkus lumus mendidik anak bangsa.
“Festival ini tidak dapat diadakan bagi edisi 2020 dan 2021 akibat pandemik Covid-19. Jadi, pada tahun ini segala persediaan dan persiapan telah dibuat untuk menganjurkan FGM 2022 secara besar-besaran yang akan berlangsung di UMK Bachok, Kelantan.
“Seperti warga pendidik sedia maklum, peranan utama YGMB adalah untuk memelihara kebajikan mereka di samping membantu memartabatkan profesion perguruan negara.
“Atas peranan dan tanggungjawab yang besar ini, YGMB sentiasa menjadi rakan strategik kepada KPM untuk membantu dan memberi sokongan padu kepada program-program yang boleh mengangkat lagi martabat profesion keguruan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Wan Munadi, YGMB menyediakan pelbagai manfaat kebajikan dan jaminan perlindungan untuk guru-guru yang berkhidmat di seluruh negara selain mempunyai lebih 20 manfaat kebajikan dan perlindungan melalui empat skim atau kategori keahlian.
Katanya, tujuan FGM 2022 diadakan dalam bentuk karnival selama beberapa hari ialah bagi memeriahkan sambutan Hari Guru dan bagi memastikan ia benar-benar berkesan dengan program, pengisian yang mengangkat jasa dan pengorbanan guru.
“Festival ini terbuka kepada orang ramai untuk sama-sama memeriahkan dan melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada warga pendidik. Semasa edisi pada 2019, kita menerima lebih 30,000 ribu orang pengunjung dan kita menjangkakan sambutan yang lebih baik pada tahun ini.
“Selain itu, sebanyak 27 anugerah Hari Guru akan disampaikan dalam Majlis Apresiasi FGM 2022 yang akan disempurnakan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin pada 15 Mei 2022,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 80 gerai pameran, jualan makanan dan barangan disediakan untuk para pengunjung dengan pembaharuan ditampilkan pada kali ini berbanding edisi pertama FGM 2019 yang dianjurkan di Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE