fbpx

Dua rakan guna surat cap jari orang mati didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mhd. Kaim ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. - FOTO: ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Perbuatan dua sahabat warga emas bersubahat menggunakan surat mengandungi cap jari individu yang meninggal dunia bagi pemindahan milik tanah enam tahun lalu berakhir dengan mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Mhd. Kaim Tukimon, 70, yang merupakan peniaga dan Ibrahim Mahidin, 61, penulis surat dan urusan tanah mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mereka berdua secara tidak jujur menggunakan satu dokumen sebagai tulen ‘Power of Attorney’ antaranya dengan Che’ Nah Arshad (yang telah meninggal dunia).

Dokumen itu memberi kuasa kepada seseorang bagi memindah milik apa-apa cagaran berharga.

Selain itu, mereka juga menggunakan dokumen perjanjian jual beli dan maklumat Pindah Milik dan Gadaian dengan kesemuanya adalah palsu seperti yang diperihalkan di bawah Seksyen 467 Kanun Keseksaan (KK).

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Unit Pendaftaran Tanah Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor pada 2 Disember 2015 dan 24 November 2016.

Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda mengikut Seksyen 109 KK dan dibaca bersama Seksyen 471 kanun sama serta boleh dihukum dibawah Seksyen 467 KK.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Noryusriza Zulkifli manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim menetapkan jaminan RM15,000 terhadap Mhd. Kaim dengan seorang penjamin, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri pada setiap awal bulan di Ibu pejabat SPRM Putrajaya.

Ibrahim pula tidak diberikan jaminan kerana menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang selama sembilan tahun bermula 11 Januari lalu bagi kes lain. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI