LANGKAWI – Bapa kepada pemuda yang dikhuatiri hilang di laut selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut di perairan ini pada semalam berharap anaknya itu dapat ditemui segera.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam, mangsa, Ahmad Nur Hassanuddin Ibrahim, 23, dilaporkan hilang selepas dikatakan cuba mengejar sebuah kapal layar menggunakan bot kecil.
Mangsa yang merupakan kru kapal layar tersebut dikatakan terlewat menaiki kenderaan berkenaan yang berlayar kira-kira pukul 4.30 petang.
Bapa kepada Ahmad Nur Hassanudin, Ibrahim Majid, 68, berkata, dia mendapat tahu tentang kejadian menimpa anaknya itu daripada adiknya kira-kira pukul 6 petang semalam.
“Saya dan ahli keluarga yang tinggal di Alor Setar terus ke Langkawi pada pagi ini. Setakat ini anak saya belum ditemui lagi,” katanya ketika ditemui di Jeti Syed Omar di Kuah di sini hari ini.
Katanya, kali terakhir dia berjumpa dengan mangsa adalah pada Ahad lalu.
“Pada hari itu, anak saya dapat panggilan telefon yang memintanya untuk segera pulang kerana perlu kembali bekerja dan terus terus menghantarnya ke Terminal Feri Kuala Perlis,” ujarnya.
Tambahnya, dia berharap agar anaknya ditemui dan reda dengan sebarang ketentuan-Nya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari memberitahu, operasi mencari dan menyelamat mangsa masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE