LONDON – Junjung Kasih Tuanku!
Itu ungkapan teristimewa daripada seorang banduan buat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang memberinya ‘kehidupan’ baharu sejak di dalam penjara iaitu kira-kira sembilan tahun lalu.
Bukan itu sahaja, Md. Ghafawi Mat Said, 52, turut diberikan pekerjaan tetap dan kini dibawa ke London bagi mempromosikan Tenun Pahang Diraja di London Craft Week yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 14 Mei ini.
Anak kelahiran Bentong, Pahang itu mula mengenali seni tenunan ketika di dalam penjara dan mula mempelajarinya sehingga menjadi salah seorang penenun yang mahir.
“Saya merasakan hidup saya telah mati apabila dipenjarakan, namun sangkaan saya meleset. Kehadiran Tunku Azizah saban hari di penjara memberikan sinar baharu untuk saya meneruskan kehidupan.
“Saya belajar bersungguh-sungguh untuk menenun. Saya perlu fokus, saya perlu mengira benang. Bayangkan sehari hanya seinci kain mampu ditenun ketika itu. Demi Tuanku, saya mahu lakukan yang terbaik,” katanya.
Md. Ghafawi antara 10 peserta mewakili Yayasan Tenun Pahang Diraja yang pengasasnya adalah Tunku Azizah ke London bagi menyertai pameran tersebut.
Md. Ghafawi akan menenun secara langsung di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London sepanjang acara itu berlangsung.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia merasakan hidupnya sangat bertuah kerana bukan calang-calang individu yang membantunya.
“Raja Permaisuri Agong seorang yang berada pada kedudukan tertinggi dalam masyarakat, seorang raja tetapi Tuanku anggap saya sama seperti orang lain meskipun saya hanya banduan.
“Orang sering memandang serong kepada banduan, tetapi Tuanku mengajar, membimbing dan membekalkan semua keperluan untuk kami ketika di penjara,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE