PUTRAJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberikan peringatan kepada semua pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan agar segera melaporkan pendapatan mereka.
LHDN memberitahu, perkara itu perlu dilakukan selewat-lewatnya pada 15 Mei depan melalui e-Filing bagi mengelakkan sebarang penalti lewat kemuka Borang Nyata Cukai dikenakan.
“LHDN ingin memberikan peringatan kepada semua pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan agar segera melaporkan pendapatan mereka yang layak dikenakan cukai untuk Tahun Taksiran 2021.
“(Ini perlu dilakukan) selewat-lewatnya pada 15 Mei melalui e-Filing bagi mengelakkan sebarang penalti lewat kemuka Borang Nyata Cukai dikenakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebagai makluman, tambah kenyataan tersebut, sehingga 30 April 2022, lebih 2.58 juta Borang Nyata Cukai Tahun Taksiran 2021 telah diterima daripada kategori pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan.
“Daripada angka itu, sekitar 2.48 juta atau lebih 96 peratus Borang Nyata Cukai diterima melalui kaedah e-Filing manakala selebihnya secara manual atau Borang Kertas,” katanya.
Kenyataan itu memberitahu, sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara tersebut boleh dikemukakan kepada LHDN melalui talian 03-8911 1000 dan 603-8911 1100 untuk panggilan dari luar negara.
Dalam pada itu, jelasnya, pertanyaan dan maklum balas boleh diberikan menerusi HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi LHDN. – KOSMO! ONLINE