SEREMBAN – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal dinaikinya terbabas sebelum melanggar bahagian badan sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 253.5 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian pada pukul 11.50 malam itu, mangsa berusia 19 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha dalam perjalanan dari Senawang menuju ke arah Pedas di sini.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa yang dipercayai sedang menunggang di lorong paling kanan cuba memotong sebuah treler, namun telah hilang kawalan lalu terbabas melanggar bahagian badan treler tersebut.
“Pelanggaran tersebut menyebabkan penunggang motosikal itu jatuh di atas jalan raya dan digilis oleh treler terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Nanda, kemudian datang sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipandu oleh seorang wanita berusia 38 tahun dari arah belakang yang tidak sempat mengelak.
“Pemandu Proton Persona itu disyaki telah terlanggar mangsa yang terbaring di atas jalan raya.
“Akibat kemalangan, mangsa iaitu penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di seluruh badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta Proton Persona bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Jelasnya, mangsa yang meninggal dunia telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar bagi tujuan bedah siasat.
“Sehingga kini, pemandu treler sedang dikenalpasti dan dikesan bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE