BRASILIA – Seorang peminat kumpulan muzik ‘heavy metal’ terkenal, Metallica dilaporkan melahirkan seorang bayi lelaki ketika dia menghadiri konsert kumpulan itu di Brazil, lapor akhbar Metro UK semalam.
Joice M Figueiro, ketika kejadian berada bersama peminat-peminat lain semasa kumpulan itu membuat persembahan di Estadio Couto Pereira di Brazil.
Artis tatu wanita itu berjaya mendapatkan tiket untuk menyaksikan kumpulan tersebut membuat persembahan dalam siri jelajah yang diadakan di Amerika Selatan.
Menurut laporan, wanita itu hamil 39 minggu dan duduk di ruangan khas apabila dia mula mengalami kontraksi sejurus sebelum konsert itu tamat.
Air ketubannya dikatakan pecah ketika dia berjalan menuju ke bilik perubatan. Disebabkan tidak mempunyai masa yang banyak untuk ke hospital, Figueiro melahirkan anaknya di stadium. – Agensi