PETALING JAYA – Tular sebuah video memaparkan sejumlah duit syiling diletakkan di dalam tong untuk diberikan kepada tetamu semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Video yang dikongsikan Shazeila Zainal di media sosial itu mendapat perhatian ramai dan pelbagai reaksi turut diberikan.
Menurut Shazeila, dia menyediakan duit syiling buat tetamu yang datang beraya ke rumahnya kerana tidak sempat menukar duit di bank.
“Panik raya, tak sempat tukar duit raya (di bank),” tulisnya di ruangan kapsyen.
Katanya, dia turut menyediakan plastik kepada tetamu untuk mengambil sendiri duit syiling di dalam tong tersebut.
Rata-rata orang ramai berasa teruja melihat situasi beberapa kanak-kanak tersenyum lebar menggenggam sejumlah duit syiling yang kemudiannya dimasukkan ke dalam plastik.
“Senyum adik itu kaut duit syiling, agak-agak berapa banyak boleh ambil,” komen Athirah Liyana.
Sementara itu, beberapa pengguna media sosial mula berteka-teki mengenai jumlah duit syiling di dalam tong tersebut.
“Kalau satu tong penuh rasanya RM5,000 seronok betul, berapa lama agaknya dia menyimpan,” ujar Fatiha. – KOSMO! ONLINE