PETALING JAYA – Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) kepada dua peratus yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyebabkan kos pembiayaan meningkat dan boleh menyebabkan tekanan ke atas harga barang.
Naib Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kemungkinan sebab BNM memutuskan untuk meningkatkan OPR sebanyak 25 mata asas hari ini adalah untuk memastikan terdapat peningkatan beransur-ansur dalam tempoh dua bulan kepada kadar sasaran 2.25 peratus menjelang Julai.
Jelasnya, ia langkah serupa seperti yang dilaksanakan pada tahun 2010, apabila peningkatan 25 mata asas dibuat setiap dua bulan.
“Nampaknya BNM menjangkakan tekanan inflasi yang lebih tinggi untuk beberapa bulan akan datang.
“Peningkatan beransur-ansur sebanyak 25 mata asas dalam tempoh dua bulan, bukannya 50 mata asas pada Julai diharapkan dapat membantu individu dan peniaga yang mempunyai komitmen kewangan pada masa ini mula merancang dan menstrukturkan komitmen kewangan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Menurut BNM, dengan pertumbuhan dalam negeri yang semakin kukuh, Jawatankuasa Dasar Monetari mengambil keputusan untuk mula mengurangkan tahap akomodasi monetari.
Jelasnya, pengurangan ini akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Zafzanizam Abdul Rashid berkata, bagi peminjam yang mempunyai pembiayaan sedia ada dan menggunakan kadar boleh berubah, mereka mungkin perlu membayar ansuran bulanan yang sedikit lebih tinggi.
“Namun, perubahan OPR ini tidak berlaku secara kerap. Kebiasaanya BNM akan menaikkan OPR secara beransur-ansur.
“Selain itu, kenaikan OPR juga akan memanfaatkan mereka yang menyimpan wang di dalam simpanan tetap. Jadi kenaikan OPR ini boleh memberi suatu insentif untuk para pengguna membuat tabungan di institusi perbankan,” katanya. – KOSMO ONLINE!