PETALING JAYA – Penyanyi dan juga pelawak warga Filipina yang mencipta nama di Malaysia, Mark Adam percaya pelantikan presiden baharu, Ferdinand Marcos Jr mampu mengembalikan zaman kegemilangan negara republik itu.
Mark atau nama lengkapnya Fikri Mark Adam Abdullah, ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, pelantikan anak kepada bekas pemerintah diktator Filipina, mendiang Ferdinand Marcos itu dilihat tidak seperti bapanya yang mengamalkan pentadbiran kuku besi ketika memerintah Filipina.
“Sebagai seorang warganegara Filipina, sedikit sebanyak saya tahu tentang sejarah keluarga Marcos. Sebelum Ferdinand digulingkan melalui revolusi kekuatan rakyat 36 tahun lalu, Filipina dibawah pemerintahannya sangat maju dan berkembang.
“Malah Filipina pada ketika itu menjadi negara di rantau Asia Tenggara paling kaya berbanding negara-negara lain. Saya pernah diberitahu oleh ayah, rakyat Filipina ketika dibawah pemerintahan Ferdinand Marcos diberi beras secara percuma,” katanya.
Ujar pelantun lagu Marry Me itu lagi, pelantikan Marcos atau mesra disapa Bongbong dalam kalangan masyarakat di Filipina akan meneruskan usaha yang dilakukan oleh bekas Presiden terdahulu, Rodrigo Duterte untuk memerangi gejala rasuah dan pengedaran dadah di negara kepulauan itu.
“Dengan sokongan daripada Duterten, saya percaya Marcos akan menjalankan tanggungjawabnya dengan baik untuk mengembalikan semula maruah Filipina.
“Seperti yang diketahui masyarakat, Duterte sangat tegas ketika menjadi ketua negara dan saya percaya, Marcos akan menyambung legasi yang dibawa oleh Presiden terdahulu,” katanya.
Walaupun mengakui terdapat segelintir rakyat Filipina sendiri bimbang dengan kebangkitan semula keluarga Marcos, sejarah hitam yang pernah melanda negara itu dibawah pemerintahan bapanya selama 21 tahun telah pun menjadi sejarah dan iktibar untuk kebangkitan pada masa akan datang.
Meletakkan harapan yang tinggi, Mark berharap Marcos mampu menjadi ketua negara yang bertanggungjawab untuk membela nasib rakyat miskin di Filipina.
“Harapan saya terhadap presiden baharu nanti supaya dapat mengurangkan kadarf kemiskinan di Filipina, membuka lebih banyak peluang pekerjaan, membantu rakyat Filipina di luar negara dan memberikan taraf pendidikan kepada kanak-kanak.
“Saya harap Marcos tidak mensia-siakan harapan rakyat,” katanya.
Sekadar info, Filipina bakal menyaksikan zaman kegemilangan era pemerintahan Marcos kembali ke Istana Malacanang selepas 36 tahun rampasan kuasa berlaku akibat pemberontakan besar-besaran.
Marcos Jr dilaporkan mendapat kira-kira 30 juta undi berbanding pesaing terdekatnya, Naib Presiden semasa kerajaan, Leni Robredo yang mempunyai kira-kira 14 juta undi, demikian menurut pengiraan separa dan tidak rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (Comelec) semalam. – KOSMO! ONLINE