MALAYSIA terus menguasai kolam renang di Pusat Akuatik My Dinh, Hanoi apabila agresif menggondol pingat emas keenam acara terjun Sukan SEA Vietnam 2021 semalam.
Terdahulu, pingat emas kelima berjaya dihadirkan menerusi Wendy Ng Yan Yee dalam kategori 3 meter (m) papan anjal individu wanita.
Kejayaan itu menyaksikan Yan Yee berjaya menambah koleksi pingat emas peribadi yang kedua pada Sukan SEA kali ini selepas gandingannya bersama Ong Ker Ying mengungguli emas acara 3m papan anjal serirama kelmarin.
Pada aksi semalam, Yan Yee berjaya merekodkan 270.60 mata selepas melakukan lima terjunan, manakala Ker Ying mengumpul 242.40 mata untuk melengkapkan hari gemilang skuad terjun negara meraih pingat perak.
Secara keseluruhan, Yan Yee berjaya menyumbangkan mata terbaik dengan 65.10 mata pada terjunan kedua, manakala empat lagi percubaan menyaksikan penerjun dari Kuala Lumpur itu merekodkan 57.00, 52.50, 40.50 dan 55.50.
Sementara itu, gandingan Jellson Jabilin dan Hanis Nazirul Jaya Surya memastikan emas keenam berjaya diraih kontinjen negara pada Sukan SEA Vietnam 2021.
Ia selepas Jellson dan Hanis langsung tiada tandingan untuk mengungguli acara 10m platform seirama lelaki selepas melakukan enam terjunan semalam.