MESKIPUN pasukan Laos dianggap ‘kerdil’, namun skuad bawah 23 tahun (B-23) negara tetap mengambil pendirian untuk tidak memandang rendah ancaman pasukan tersebut.
Laos yang mendapat sentuhan jurulatih dari Jerman, Hans Michael Weiss sebelum ini pernah melakukan kejutan menewaskan Malaysia di Kejuaraan AFF B-23 pada Februari lalu.
Pastinya, Laos dilihat bersedia melakukan kejutan sekali lagi selepas dilihat terdesak untuk mencari kemenangan pertama mereka setelah seri 2-2 ketika berdepan Singapura selain tewas 1-4 terhadap Kemboja.
Bagi penjaga gol B-23 negara, Muhammad Azri Abdul Ghani, dia enggan membiarkan perkara itu berulang kembali dan mahu memastikan pintu gawang tidak bolos, sekali gus mahu mencatat kemenangan ketika berdepan Laos.
“Ketika ini, kami mahu menghadapi satu persatu perlawanan agar fokus kami tidak terganggu. Sebagai pertahanan terakhir pasukan, saya akan bermain lebih baik berbanding aksi pertama berdepan Thailand tempoh hari.
“Saya akan cuba memastikan pintu gol pasukan negara tidak dibolosi. Apapun, ketika berdepan Laos nanti, kami tidak boleh pandang rendah kerana mereka ada taktikal yang tersendiri.
“Jadi, pasukan perlu lakukan yang terbaik untuk memastikan kemenangan mampu menjadi milik kami sekali lagi,” katanya.
Sebelum ini, skuad negara membuka kempen aksi Kumpulan B dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas Thailand di Stadium Thien Truong, Nam Dinh.
Kali terakhir Malaysia memenangi ‘Ibu Emas’ Sukan SEA ialah pada edisi 2011 di Indonesia ketika dibimbing Datuk Ong Kim Swee.
Bagaimanapun, pencapaian terbaik Malaysia selepas itu adalah muncul naib juara dan membawa pulang pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur juga di bawah kendalian Kim Swee, sebelum tersingkir seawal peringkat kumpulan pada Sukan SEA Manila 2019 di Filipina.