KUALA LUMPUR – Individu yang tidak berada dalam senarai bagi memperoleh kemudahan pengiring bermotosikal tidak dibenarkan menggunakan khidmat tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kemudahan khidmat pengiring perlu mendapat kelulusan daripada Ketua Polis Negara.
“Kita tidak akan membenarkan sesiapa yang tiada dalam senarai itu mendapat kemudahan ini. Ia perlu mendapat persetujuan KPN.
“Jadi jika ada kesalahan yang dilakukan oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), kita akan ambil tindakan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri PDRM Tahun 2022 di Pulapol Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan pengarah-pengarah jabatan Bukit Aman.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, siasatan dalaman telah dijalankan dan akan diketahui dalam waktu terdekat.
“Individu yang menggunakan khidmat terbabit pula akan dikenakan tindakan jika terdapat kesalahan undang-undang,” ujarnya lagi.
Tambahnya, prosedur operasi standard (SOP) berkaitan khidmat pengiring sedia ada sudah jelas dan tidak memerlukan SOP baharu.
Sebelum ini tular di media sosial seorang anak ahli parlimen menggunakan khidmat polis pengiring semasa kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE