fbpx

Hael Husaini jaga-jaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAEL HUSAINI

MEMILIKI tiga orang anak angkat, hatta berstatus lelaki bujang, penyanyi dan komposer, Hael Husaini atau nama sebenarnya, Hal Husaini Razmi memilih jalan sederhana menyambut lebaran kali ini.

Nur Helena dan dua anak lelaki kembar yang masing-masing diberi nama Haelmy dan Haelman bagaimanapun memberi makna Aidilfitri tersendiri buat pelantun lagu

Sama Seperti Dulu itu. Bagi Hael, keluarga kecilnya memainkan peranan penting dalam kehidupannya sebagai seorang manusia.

Dua tahun ‘berkurung’ disebabkan pandemik Covid-19, kelonggaran yang diberikan bagaimanapun dimanfaatkan sebaiknya buat Hael, namun masih mempraktikkan langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku, terutama kepada anak-anak.

TAHUN ini, Hael Husaini benar-benar memanfaatkan cuti pendek lebaran dengan dengan aktiviti balik kampung bersama tiga orang anak angkatnya. Biarpun tidak lagi dikongkong, Hael tetap berjaga-jaga agar anak-anak kekal terhindar daripada risiko. – RIZMAN RUZAINI & INSTAGRAM HAEL HUSAINI

Kelonggaran

“Sejujurnya sambutan Syawal kali ini tetap sama seperti tahun lalu. Walaupun kita terikat dengan beberapa perintah berkurung dan sekatan pergerakan dua tahun sebelum ini, saya tetap melakukan aktiviti memasak di rumah dan memakai pakaian raya.

“Cuma, tahun ini terasa lebih istimewa kerana dapat balik beraya di kampung dan berjumpa sanak saudara,” katanya.

Ujar Hael, 35, peluang beraya dan berkumpul dengan sanak saudara digunakan sebaiknya untuk mengubat kerinduan selama akibat terpisah disebabkan virus Covid-19.

“Saya dan keluarga lazimnya pulang ke kampung pada petang raya. Selalunya juadah raya semua kami bawa dari kediaman asal masing-masing. Jadi aktiviti memasak itu tiada sangat di kampung tetapi lebih kepada sesi melepas rindu dengan saudara-mara,” ujarnya.

Umum mengetahui, bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu, Hael yang turut dikenali menerusi lagu Jampi memperkenalkan anak kembar lelaki, Haelmy dan Haelman.

Perihal terbabit sekali gus melengkapkan lagi kehidupannya bersama seorang lagi anak angkat perempuan sebelum ini, Nur Helena.

Sungguhpun begitu, Hael mengambil keputusan untuk mengehadkan pergerakan semua anaknya bagi mengelakkan sebarang risiko dan perkara tidak diingini berlaku terutama dalam situasi semasa sekarang.

“Sebenarnya masih hadkan untuk membawa anak-anak berjumpa orang ramai kerana masih bimbang dengan keadaan semasa.

“Selalunya hanya akan berjumpa saudara terdekat sahaja. Jujurnya, saya masih berjaga-jaga mengenai perkara ini,” katanya yang beranggapan pandemik masih belum berakhir sepenuhnya biarpun banyak kelonggaran telah diumumkan kerajaan.

Dalam kalender Islam, Syawal itu menandakan kemenangan selepas sebulan umat Islam berpuasa di bulan Ramadan. Pastinya juga, Syawal itu memberikan makna tersendiri dalam diri seseorang termasuk dirinya.

Bagi Hael, bulan Syawal menjadi waktu terbaik untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan dan silaturahim sesama insan.

“Syawal kali ini membawa makna yang besar dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim.

“Kita meraikan hari kemenangan selepas berjaya menjalani bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

“Syawal juga adalah detik terbaik untuk kita mengukuhkan silaturahim sesama insan terutama ahli keluarga kita,” katanya.

Diajak bercerita tentang memori raya yang masih basah dalam fikirannya, Hael memaklumkan, zaman kanak-kanak adalah yang paling menyeronokkan dan masih diingati sehingga sekarang.

BERSATU dengan Dolla menghangatkan lagu raya berjudul Suara Lebaran Kita, percaturan Hael ternyata berjaya apabila lagu berkenaan mendapat sambutan peminat.

Kena kejar lembu

Sewaktu zaman kanak-kanak, dia pernah ‘diperhambat’ lembu dan itu adalah kenangan yang masih kekal di minda hingga hari ini.

“Setakat ni zaman kanak-kanak sahaja yang penuh dengan kenangan lucu. Saya pernah dikejar lembu ketika keluar beraya di kampung. Memang akan diingati sampai bila-bila dan barangkali takkan berulang lagi

“Kerana apa, kerana orang cakap kecil itu hanya sekali dan saya bersyukur kerana zaman kanak-kanak saya dipenuhi dengan pengalaman sama seperti kanak-kanak lain yang jauh dari kesibukan media sosial seperti sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Hael turut berbicara tentang lagu rayanya yang merupakan kolaborasi perdana dengan kumpulan Dolla berjudul Lebaran Kita yang mendapat tempat baik di hati para pendengar.

HAEL masih mengehadkan pertemuan anak-anak dengan ramai orang mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Lagu raya

“Saya menyuarakan hasrat untuk mengeluarkan lagu raya pada tahun ini kepada syarikat rakaman dan mereka menyambut baik permintaan saya.

“Selepas beberapa perbincangan, mereka ingin menggabungkan saya bersama kumpulan Dolla untuk projek ini.

“Kebetulan saya memang tengah suka dengan Dolla, jadi saya terus setuju dan memulakan proses pembuatan lagu bersama Ezra Kong.

“Sekarang lagu raya ini sudah pun dilancarkan dan sambutannya sangat mengujakan. Harap semua teruskan mendengar lagu raya kami Suara Lebaran Kita di semua platform strim muzik,” katanya.

Seperti tahun sebelumnya, Hael juga tidak mengambil cuti raya yang lama kerana komitmen kerja yang sedikit menimbun.

“Saya tidak bercuti lama untuk raya kali ini kerana sudah mengambil cuti yang banyak ketika Ramadan.

“Saya sudah kembali bekerja sekitar raya ketiga kerana banyak lagu dan proses rakaman yang perlu disiapkan,” katanya menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI