DORTMUND – Penyerang sensasi Borussia Dortmund, Erling Haaland hanya menunggu masa untuk melengkapkan perpindahan menyertai gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City selepas dilaporkan lulus menjalani ujian kecergasan di Stadium Etihad semalam.
Sebagai rekod, The Citizens kendalian Pep Guardiola telah bersetuju untuk menebus klausa kontrak Haaland yang dikatakan bernilai £63 juta (RM341.1 juta) meskipun mendapat persaingan sengit daripada juara La Liga, Real Madrid.
Dortmund juga telah memberi kenyataan bahawa bintang Norway berusia 21 tahun itu mendapat pelepasan daripada menjalani latihan minggu ini bagi menyelesaikan urusan peribadi yang tidak boleh didedahkan.
“Haaland tidak lagi menyertai kem latihan pasukan sejak Isnin lalu kerana kami membenarkan dia menyelesaikan urusan peribadi yang perlu dilakukan dalam kadar segera,” menurut kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kelab Jerman itu semalam.
Difahamkan, City memberikan kontrak lumayan kepada Haaland dengan gaji dianggarkan bernilai £107 juta (RM579 juta) untuk lima musim dan jumlah itu boleh meningkat sehingga £213 juta (RM1.15 bilion) sebagai bonus tambahan bergantung kepada prestasi semasanya.
Haaland yang telah menjaringkan 92 gol kelab dalam 121 perlawanan bersama Molde, Red Bull Salzburg dan Dortmund dilaporkan bakal menerima gaji tertinggi di Stadium Etihad setanding dengan bayaran diterima perancang, Kevin de Bruyne.
Dortmund yang dikendalikan oleh Marco Rose tidak menunggu lama untuk mencari pengganti Haaland apabila dikatakan bakal menandatangani khidmat Karim Adeyemi selepas penyerang Salzburg itu berjaya meledak 20 gol daripada semua 42 perlawanan musim ini. – AGENSI