PENERJUN negara, Chew Yiwei pastinya melalui hari paling gembira pada hari pertama sukan terjun pada Sukan SEA Vietnam 2020 apabila merangkul pingat emas menerusi acara 3 meter (m) papan anjal seirama lelaki kelmarin.
Pada aksi final yang berlangsung di Pusat Akuatik My Dinh itu, dia yang bergandingan dengan Ooi Tze Liang menewaskan cabaran pasangan tuan rumah, Nguyen Tung Duong-Phuong The Anh bagi menghadiahkan pingat emas kedua negara.
Enam terjunan yang cukup meyakinkan itu memastikan mereka mengutip 395.79 mata keseluruhan, jauh meninggalkan gandingan Vietnam berkenaan dengan 306.64 mata untuk pingat perak.
Lebih manis, kejayaan itu hadir ketika sambutan Hari Ibu dan ia sangat bermakna buat Yiwei yang seterusnya mendedikasikan kilauan pingat emas tersebut kepada ibunya.
“Hari ini (kelmarin), saya berjaya menyelesaikan tugas pada temasya Sukan SEA Vietnam dengan memenangi pingat emas dalam acara 3m seirama lelaki. Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan.
“Kerja keras saya bersama Tze Liang selama dua tahun termasuk ‘berperang’ dengan Covid-19 akhirnya membuahkan hasil. Saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada ibu yang berada di Pekan Meru, Klang,” katanya.
Dalam pada itu, Yiwei yang sudah pun menamatkan saingan pada temasya dwitahunan tersebut berharap seluruh rakyat Malaysia terus memberikan sokongan kepada skuad terjun yang masih menggalas misi di Vietnam.
“Selepas ini, saya tidak ada sebarang acara lagi, namun rakan-rakan sepasukan masih menggalas misi negara dalam acara seterusnya. Semua rakyat Malaysia terus berikan sokongan bagi membolehkan kita melakar lebih banyak kejayaan,” ujarnya.